Sunday 27 May 2012

Sejarah Ringkas Internet Di Malaysia

 Pada tahun 1987, Rangkaian Komputer Malaysia (RangKoM) dengan kemudahan sambungan antarabangsa telah ditubuhkan. Universiti-universiti tempatan merupakan pengguna RangKoM pada peringkat awal. Ianya terus berkembang dengan sokongan dan perhatian dari pihak swasta. Tumpuan awal penggunaan RangKoM ialah pada mel dan forum elektronik, walaupun ia mempunyai keupayaan komunikasi dan perkongsian sumber. Projek RangKoM bukan sahaja memberi pengalaman dari segi pembangunan teknologi, malah ia juga mendedahkan beberapa kelemahan, kekurangan dan juga potensi penggunaan teknologi rangkaian komunikasi dan isu-isu pengurusan yang berkaitan dengannya.  



Berdasarkan kepada pengalaman ini, program JARING telah dirumuskan, dan ianya dilancarkan pada tahun 1991 yang bertujuan untuk membangunkan rangkaian komunikasi negara secara bersepadu dan lebih menyeluruh. Secara praktiknya, segala kegiatan dan pengalaman projek RangKoM telah diserapkan ke dalam projek JARING.

MIMOS yang dikenalikan oleh 5 pakar komputer iaitu Dr Mohd Azzman UM, Dr Awang Lah UM, Dr Muhammad Ghazie Ismail (USM), Dr Mohd Arif Nun (UTM), Dr Mohd Zawawi Ismail (UTM) mengendalikan projek rangkaian JARING sebagai projek pembangunan utama dalam Rancangan Malaysia Ke-Enam. JARING yang dihubungkan dengan banyak institusi penyelidikan dan akademik, serta agensi kerajaan dan swasta di Malaysia, bermatlamatkan terutamanya untuk menyokong aktiviti pendidikan, penyelidikan dan komersial. JARING juga dihubungkan kepada rangkaian Internet antarabangsa.

Talian litar suwa antarabangsa berkelajuan 64Kbps ke Amerika Syarikat telah beroperasi mulai 14hb. Nov. 1992. Talian suwa ini menggantikan talian X.25 awam dan dail yang tidak lagi kos efektif setelah meningkatnya bilangan pengguna dan tahap penggunaan JARING. Pada 29hb. Nov. 1994, keupayaan JARING dipertingkatkan kepada 1.5Mbps yang merupakan 24 kali ganda lebih pantas berbanding dengan talian 64Kbps. Keupayaan JARING ini memanfaatkan sepenuhnya teknologi gentian optik selaras dengan pertambahan dalam bilangan keahlian.

Pada bulan Jun 1994, JARING bergerak dengan lebih cemerlang lagi dan Internet boleh diakses melalui nodnya yang ditempatkan di seluruh negara. Nod JARING pada masa tersebut ditempatkan di 16 buah bandar utama di Malaysia, iaitu di Damansara, Petaling Jaya, Shah Alam, Bangi, Melaka, Seri Gading, Johor Bahru, Ipoh, Pulau Pinang, Alor Setar, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bahru, Kuching, Kota Kinabalu, dan Kuala Lumpur. Ini membolehkan lebih ramai pengguna mencapai JARING/Internet dengan panggilan telefon tempatan. Rangkaian JARING turut boleh dimanfaatkan oleh pengguna dari
Singapura, Brunei, dan Thailand.

Dari segi perkembangan keahlian JARING/Internet pula, sebanyak 27 organisasi dan jabatan kerajaan telah menjadi ahli pada awal tahun 1992. Lebih 200 pelanggan dalam negara menggunakan kemudahan ini pada akhir tahun 1992. Keahlian JARING dikategorikan kepada pelajar, orang perseorangan dan organisasi. Orang perseorangan dan pelajar hanya boleh mengakses Internet melalui talian dail sahaja, sementara organisasi boleh mengakses melalui talian dail atau litar suwa. Keahlian JARING di sepanjang tahun 1994 meningkat kepada 1,693 ahli individu dan 254 syarikat.

Dalam tahun 1995 pula, JARING ditingkatkan keupayaan bagi menampung pertambahan keahlian dan penggunaan serta mengurangkan kesesakan aliran trafik. Tumpuan utama ialah mengukuhkan prasarana tulang belakang JARING melalui tambahan nod, talian di antara nod, dan peningkatan kelajuan beberapa talian suwa serta bilangan talian dail.

Dalam tahun 1995 juga talian yang menghubungkan nod-nod di Pulau Pinang dan Johor Bahru telah ditingkatkan kelajuannya dari 64Kbps kepada 2.048Mbps. Sehingga akhir tahun 1995, lebih 1,000 talian untuk pengguna talian dail telah disediakan. Sebanyak 40 nod baru telah dipasang dalam tahun 1996 sebagai tambahan kepada 21 nod pada tahun sebelumnya.

Tahun 1995 juga menyaksikan pemasangan sambungan kedua ke Internet antarabangsa. Sambungan tetap yang berkelajuan tinggi pada kadar 2.048Mbps (E1) berfungsi serentak dengan sambungan 1.536Mbps (T1) sebelumnya. Kehadiran E1 disamping T1 berupaya menampung penggunaan yang semakin bertambah. Sepanjang tahun 1995 pertumbuhan peningkatan keahlian JARING bertambah pada kadar purata 22% sebulan. Melalui Rancangan Malaysia Ke-7, kerajaan telah melaksanakan projek Superstruktur Maklumat Negara yang menggunakan JARING sebagai prasarana tulang belakang.

Untuk membuka peluang yang lebih luas kepada umum, JARING telah memeteraikan Memorandum Persefahaman (MOU) dengan beberapa syarikat Pembekal Perkhidmatan Akses JARING (JASP) pada 1 Ogos 1996. Ia memudahkan orang ramai mendapat khidmat sokongan bagi mengakses Internet.

(nota kaki: inilah nota yang paling ringkas yang admin boleh buat)


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...